Luis Chin, lawaknya melucukan meski pun bersahaja
“ Kasih saya air suam “ , … itulah antara skrip paling melucukan pelakon dan pelawak yang berbakat besar serta tidak asing lagi di Sabah, Luis Chin semasa berlakon di dalam telemovie tempatan ‘ Si Tiga Jaguan ‘ .
Luis, 60, meski pun menyampaikannya secara selamba tapi amat melucukan dan pastinya mereka yang menonton telemovie itu tentu terhibur melihat gelagat Luis yang bergandingan dengan Koboi dan Reno.
Ini membuktikan kita memiliki pelawak hebat-hebat belaka bahkan jika semua pihak di negeri ini khususnya penggiat seni sepakat untuk memartabatkan bidang berkenaan adalah tidak mustahil mereka mampu menyaingi pelawak di Semenanjung Malaysia.
Dari segi budaya dan dialek bahasa yang pelbagai memberi banyak kelebihan kepada pengarah tempatan untuk menerbitkan drama, telemovie atau pun filem yang bermutu tinggi.
Contohnya, ‘ Si Tiga Jaguan ‘ adalah satu telemovie yang menarik kerana dengan dialek tempatan telah menguatkan telemovie itu apatah lagi Luis yang memegang watak sebagai salah seorang pelakon utamanya membuatkan sesiapa saja menontonnya tentu terhibur.
Luis memiliki ciri-ciri seorang pelawak dan berikan apa sahaja watak kepadanya sama ada dalam drama, telemovie mahu pun filem pastinya tidak akan menghampakan sesiapa pun.
Hiburan Sabah sempat menemubual Luis secara eksklusif di ibu negeri tidak berapa lama dahulu bagi mendapatkan pandangannya berhubung masa depan bidang lawak jenaka di negeri ini.
“ Sebenarnya, bidang lawak jenaka di Sabah boleh berkembang maju asalkan semua pihak khususnya penggiat seni berganding bahu bagi menerbitkan sama ada dalam bentuk drama, telemovie mahu pun filem.
“ Kerana, kalau kita teliti sejenak … Sabah apa kurangnya, kita kaya dengan pelbagai budaya dan dialek bahasa yang unik sudah tentu memberi banyak kelebihan kepada pengarah tempatan untuk menerbitkan lebih banyak lagi telemovie yang bermutu tinggi dan mendapat sambutan hebat dari semua peminat, “ katanya.
Menurut bekas DJ Radio di Sabah FM ini, tidak mustahil suatu masa para pengarah tempatan mampu mengeluarkan filem lawak jenaka dari sini berdasarkan keberanian menerbitkan begitu banyak telemovie sejak kebelakangan ini.
Ujarnya, ini membuktikan bahawa pengarah tempatan berwawasan selain memiliki idea yang tersendiri demi kemajuan dan masa depan industri tersebut.
Luis yang berasal dari Kampung Padawan Kinota di Papar mengakui tanpa kerjasama selain sokongan semua pihak tentu segala usaha untuk melihat kemajuan industri tersebut tidak akan tercapai.
“ Kita perlu berganding bahu selain mengambil kira dari segi pembayaran kepada seseorang pelakon atau pelawak perlu dinaikkan.
“ Ini kerana, kalau kita teliti … pembayaran agak berbeza seperti apa yang diterima pelawak di Semenanjung Malaysia, “ jelasnya sambil mengakui faktor pembayaran tidak dinafikan begitu penting untuk kemajuan sesuatu industri.
Bagaimanapun, Luis mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ampal Production Sdb Bhd, Yusof Salleh dan Dr.Rashid kerana memberikan peluang kepadanya untuk berlakon di dalam telemovie yang diterbitkan.
Beliau juga tidak melupakan kepada semua peminatnya yang banyak memberikan sokongan selama ini membolehkannya terus bertahan dalam industri lakonan sehingga ke hari ini.
Selain telemovie ‘ Si Tiga Jaguan ‘ dan ‘ Gadis Tamparuli ‘ itu, Luis turut berlakon dalam tiga telemovie yang diterbitkan oleh Ampal Production Sdn Bhd antaranya ialah ‘ Orang Kita ‘ .
Menceritakan pengalamannya sewaktu berlakon dalam telemovie ‘ Orang Kita ‘ dulu, apa yang tidak akan dilupakan oleh Luis ialah sampai ke hari ini orang memanggilnya sebagai doktor haiwan.
“ Ke mana-mana sahaja saya pergi orang akan panggil saya doktor haiwan tapi saya tidak berkecil hati sebab bagi saya itu membuktikan bahawa lakonan saya sebagai seorang doktor haiwan telah berjaya.
“ Pernah suatu ketika, semasa saya berjoging di Kepayan Ridge tiba-tiba saya didatangi oleh kanak-kanak yang memanggil saya doktor haiwan, “ kata Luis yang tersenyum mengenangkan pengalaman melakonkan watak berkenaan.
Bahkan, kata Luis, ayah kepada kanak-kanak itu lantas menemui beliau lalu memberitahu bahawa anak-anaknya begitu meminatinya sehingga CD Orang Kita rosak sebab diputar banyak kali.
Bukan itu saja, Luis juga memberitahu pernah suatu ketika apabila beliau dan isterinya pergi ke pasar besar di ibu negeri untuk membeli ikan telah mendapat potongan harga ikan kerana penjual di situ rupa-rupanya peminat Luis.
“ Inilah antara kenangan manis dan pahit yang saya lalui tetapi ini sedikit sahaja banyak lagi yang belum sempat saya ceritakan, “ ujarnya bergurau.
Luis yang memiliki empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan hasil perkongsiang hidup dengan isterinya, Nuluzanim Baladus.
Luis menyertai RTM Sabah sejak 1971 sebagai Pembantu Siaran tetapi kemudian dinaikkan pangkat sebagai Bahagian Penerbit Rancangan untuk Radio Bahasa Kadazandusun.
Dari situlah Luis menimba banyak pengalaman sebagai seorang pelakon dan pelawak menerusi pelbagai sketsa lakonan yang dijayakannya sepanjang bersama RTM Sabah.
“ Pengalaman itu, saya curahkan sampai ke hari ini, “ katanya mengakhiri perbualan eksklusif.
Dj Othoe terkenal dengan tagline ' Atukoii ' ...
PENGACARA Suria Pagi Kinabalu di Radio Suria FM, Dj Othoe yang terkenal dengan ' Atukoii !! ... ' bila bersiaran seawal pukul 6 pagi memberitahu bahawa beliau tidak tahu macam mana sebutan itu menjadi tagline kepadanya kerana pada mulanya menggunakan ' Aramaitee ' .
" Sebetulnya, mula-mula saya sering menggunakan perkataan Aramaitee !! .. tapi saya rasa tidak sesuai sebab sudah biasa orang menyebutnya. Ada juga yang mencadangkan Buli Bah, Kalau Kau !! .. Tapi, tidak juga menjadi akhirnya saya kekalkan Atukoii !! sebagai tagline sebab senang untuk diingat, " kata Dj Othoe kepada Hiburan Sabah semasa ditemui di Bandaraya Kota Kinabalu baru-baru ini.
Dj Othoe berkata beliau bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang pengacara sehingga pernah suatu ketika memaksanya melupakan niatnya itu setelah dua kali menghadiri ujibakat anjuran sebuah stesen TV kerajaan tetapi tidak berjaya.
Beliau berkata kerana minatnya terhadap bidang pengacaraan dia meneruskan kerjayanya sebagai pengacara bebas di ibu negeri.
Katanya, berkat kesabaran maka Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS) menawarkan beliau sebagai pengacara hiburan selama lima tahun.
" Perkara yang tidak dilupakan sepanjang bertugas sebagai pengacara di LKS ialah sebanyak tiga kali mengendalikan majlis bersama pengacara terkenal Malaysia iaitu Datuk Mahathir Lokman apabila salah satunya kami digandingkan mengacarakan Pesta Air peringkat Kebangsaan yang ketika itu dibuat di Nexus Lagoon Karambunai Resort.
" Macam mimpi menjadi kenyataan kerana tidak menyangka mampu mengacarakan majlis besar seumpama itu apatah lagi digandingkan bersama Datuk Mahathir yang banyak memberikan tunjuk ajar dan nasihat tentang mengacarakan sesuatu majlis melibatkan orang kenamaan, " beritahu beliau.
Dj Othoe atau nama penuhnya Andrew Impongan ini menjelaskan semuanya adalah disebabkan peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh LKS sehingga dia mendapat pengalaman sebagai seorang pengacara.
Dalam diam-diam rupanya Dj Othoe turut berpengalaman sebagai penganjur sesuatu majlis selain menjadi perunding dan perancang perkahwinan ketika menjadi pengacara bebas bermula pada tahun 1998.
Ujar beliau, setakat tahun 2008 sahaja seramai 130 orang pasangan telah berjaya dikendalikannya semenjak 1998 lagi.
Ditanya siapakah memberikan dorongan kepadanya untuk menceburi bidang pengacaraan ini lantas Dj Othoe yang semakin popular itu menjawab, " Mestilah arwah ayah saya Impongan Bahara yang banyak memainkan peranan penting walaupun ayah banyak membantah berhubung kerjaya saya ... sebab, pada mulanya dia mahu saya menjadi seorang guru, "
" Apa pun, ayah banyak memberi dorongan selain keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan termasuklah juga tunang saya .. Atukoii !! kata Dj Othoe yang sudah pun memiliki pengalaman selama 11 tahun dalam bidang pengacaraan ini.
Ditanya apakah makanan kegemarannya, Dj Othoe memberitahu dia gemar masakan Mee Tuaran, Bak Kut Tee di Jalan Gaya Kota Kinabalu dan Sayur Tatarung dimasak sambal.
Dj Othoe yang sentiasa merendah diri ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang banyak memberikan sokongan kepadanya khususnya pendengar siaran Suria Pagi Kinabalu.
" Sokongan dan dorongan kalian semua termasuklah keluarga saya akan saya kenang sampai bila-bila. Othoe bertekad untuk maju dalam bidang pengacaraan sekali gus memeriahkan industri hiburan di Sabah, " tambahnya.
Alvin MY muncul dengan album solo Learning You
Alvin My atau nama penuhnya Alvin Mahathir Yunus merupakan salah seorang daripada ahli kumpulan Infinatez dan juga berperanan sebagai produser dan pencipta lagu.
Learning You merupakan album solo Alvin MY untuk mengekspresi ideologi muzik serta kebolehan beliau dalam bidang penciptaan dan penulisan lagu. Kesemua lagu di dalam album tersebut adalah ciptaannya sendiri.
Di dalam album itu, dia telah bekerja dengan ahli muzik berbakat besar seperti Peter Peninting, Reuben Raymond, Moses Da Silva dan Matlan Kidz.
Dilahirkan di Devon, England dan dibesarkan di Kota Kinabalu serta Ranau ini, Alvin MY yang meminati penghibur-penghibur antarabangsa dari aliran R&B seperti Musiq Soulchild, Maxwell, Justin Timberlake dan Robin Thicke memberitahu Hiburan Utusan Borneo bahawa dia berharap untuk mempamerkan gaya persembahan serta karisma yang berlainan daripada Infinatez di dalam album solonya ini.
Menurutnya, album tersebut merupakan usaha solo beliau yang pertama dan akan disusuli dengan album-album lain dengan tema yang berbeza-beza.
Sebelum menyertai Infinatez pada hujung tahun 2006, beliau merupakan ahli kumpulan vokal Fourvoices dan sering diundang untuk menyanyi di majlis-majlis persendirian.
Alvin MY mula aktif mencipta lagu pada pertengahan tahun 2006. Dia dan Infinatez mula dikenali umum setelah menyertai rancangan realiti TV Gangstarz pada tahun 2007 dan seterusnya apabila menyertai pementasan teater muzikal P.Ramlee terbitan Enfiniti Production.
Sesungguhnya pengalaman Alvin MY boleh dikongsikan bersama dengan bekerja serta berkongsi pentas bersama nama-nama besar dalam industri muzik tanahair seperti Adlin Aman Ramli, Tiara Jacquelina, Melissa Saila, Liza Hanim, Sean Ghazi, Datuk Siti Nurhaliza, Musly Ramli, Siti Hajar, Helen Yap, Azmeer, Cat Farish, Imran Ajmain, Atilia, Infinatez, Luscious, Pat Ibrahim, Atama, Asmin Mudin, Illegal, C.L Toh, Edrie Hashim, Zahim Al Bakri, Jonathan Tse, Pot of ROSIN, Richado, Kombo RTM Kota Kinabalu dan banyak lagi.
Alvin MY memberitahu walaupun tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang muzik sebelum ini, beliau kini mula mendapatkan tunjuk ajar dari guru muzik Andrew Peninting.
Sebagai seorang penyanyi, Alvin MY telah membuat persembahan di pelbagai program melibatkan acara korporat, perkahwinan dan juga persembahan kelab-kelab sekitar Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.
Keistimewaan yang ada pada beliau ialah boleh membuat persembahan secara solo dengan gitar akustik.
Selain aktif dalam bidang muzik, beliau juga adalah pengasas komuniti sosial dan rekaan baju BBKK yang semakin mendapat tempat di Sabah. Maklumat lanjut mengenai Alvin MY dan albumnya itu boleh didapati di laman web rasmi www.alvinmy.com.
Peminat Alvin MY akan berpeluang untuk mendapatkan album solonya ini apabila Learning You akan menemui peminat pada awal bulan April di mana pelancaran album berkenaan telah pun diadakan baru-baru lalu bertempat di Venetian, Lido Penampang.
Dayang Noraini menggegarkan Razz Ma Tazz
KALAU kita bercakap mengenai industri seni suara di Sabah pastinya ramai beranggapan bahawa apakah sudah setanding seperti penyanyi-penyanyi dari Semenanjung Malaysia?
Jawapannya ya, kita wajar berbangga bila mana semakin ramai penyanyi berbakat dilahirkan sekali gus mampu menggegarkan industri seni suara di negara ini.
Dayang Noraini bukanlah nama baru dalam industri seni suara di negara ini, dia adalah juara Pertandingan Sinaran Passport Kegemilangan musim ke - 6 anjuran TV3 pada tahun 1998 tetapi siapa sangka Dayang Noraini masih berbisa dan mampu memberikan persembahan hebat dan cukup bertenaga.
Bakat menyanyi yang ada pada Dayang Noraini perlu terus digilap supaya sebaris seperti penyanyi-penyanyi jauh lebih maju memandangkan persembahan Dayang Noraini begitu bertenaga tambahan pula lagunya hebat-hebat belaka membuatkan ramai yang teruja.
Lagu ' Kelawar Oh Kelawar ' yang terkandung dalam album solo pertamanya berjudul ' Dayang Noraini Mac 2010 ' bukan sahaja mampu meletakkan nama Dayang Noraini sebaris seperti penyanyi-penyanyi lain malah akan memeriahkan industri seni suara di negara ini.
Satu majlis pelancaran album solo Dayang Noraini telah pun berlangsung di Razz Ma Tazz dekat ibu negeri pada malam Sabtu lepas setelah 12 tahun bergiat aktif dalam bidang nyanyian akhirnya Dayang Noraini mampu memiliki album sendiri.
Album tersebut mengandungi sebanyak enam buah lagu iaitu tiga lagu berentak Balada dan tiga lagu lagi berentak Progresif Rock di mana lagu-lagu dan liriknya merupakan ciptaan Ku Sham, Rafiqa Roslee, Manan Ngah dan Dayang Noraini sendiri.
Antaranya, Hipokrit (Ku Sham, Rafiqa Roslee / Zaira), Sesayup (Ku Sham / Zaira), Kelawar Oh Kelawar (Rafiqa Roslee, Dayang Noraini / Emellyn Forman), Kau Tak Akan Pernah Tahu (Rafiqa Roslee / Dayang Norani), Di Ulangtahun Mu (Rafiqa Roslee) dan Demi Dekat Pada Mu (Manan Ngah).
Memulakan persembahan seawal pukul 10.30 malam, Dayang Noraini menyampaikan beberapa lagu dijangka hit termasuklah Hipokrit, Kau Tak Akan Pernah Tahu dan Kelawar Oh Kelawar.
Diiringi penyanyi dan penari latar ternyata Dayang Noraini memukau pengunjung yang teruja apabila beliau menyanyikan lagu Kelawar Oh Kelawar ini.
Tepukan gemuruh yang menggambarkan keterujaan pengunjung dengan lagu Kelawar Oh Kelawar kedengaran suara-suara supaya Dayang Noraini terus menyanyikan semula lagu tersebut.
Pastinya, lagu Kelawar Oh Kelawar yang dihasilkan di United Kingdom bakal meletup di pasaran kerana kuatan bukan sahaja pada lirik tetapi lagunya benar-benar memenuhi citarasa pendengar pada masa kini.
Selain menyampai lagu-lagu hitnya, Dayang Noraini turut menyampaikan beberapa lagu Inggeris yang top pada masa kini dan dia mampu membawa dengan lebih baik serta menghiburkan seolah-olah semua orang berada dalam satu konsert pada malam itu.
Sementara itu, dalam sidang akhbar yang diadakan sebelumnya Dayang Noraini, 36, ditanya beberapa soalan termasuk kenapakah jarak membikinkan album solo pertamanya mengambil masa selepas 12 tahun beliau bergiat aktif dalam bidang berkenaan.
" Sebenarnya ... tidak pula begitu, saya banyak memikirkan banyak perkara terutama soal seperti bila kita merancang mahu membuat album perkara pokok paling penting sekali adalah album yang dikeluarkan dapat memenuhi citarasa pendengar.
" Ini kerana, pendengar sekarang sudah pandai menilai sesuatu album yang dikeluarkan jadi kita buat yang terbaiklah, " kata ibu kepada tiga orang anak ini.
Dia bersyukur akhirnya mampu memiliki album sendiri diatas segala usaha dan berkat kesabaran walaupun terpaksa berkorban sedikit tenaga dan wang ringgit demi memastikan kelancaran album solo pertamanya itu.
Baginya yang masih mengajar sebagai seorang guru ini memberitahu bahawa inilah hadiah untuk semua peminatnya yang selama ini selalu bertanya kepadanya bila dia akan mengeluarkan album solo pertama.
" Malam ini, saya akan melancarkan album solo pertama dan ia adalah merupakan hadiah buat para peminat termasuklah anggota keluarga, sahabat handai dan rakan taulan, " ujarnya.
Dayang Noraini berkata dia juga bukannya menyepikan diri tetapi sering mengadakan persembahan pentas yang diadakan melibatkan anjuran badan-badan amal dan NGO
di sekitar ibu negeri.
Dia juga yakin dan percaya albumnya boleh mendapat tempat di hati semua peminat seluruh Malaysia berdasarkan kualiti album beliau yang mantap dari segi lagu-lagu mampu memenuhi selera pendengar masa sekarang.
kepada satu soalan adakah dia sibuk mana lagi memikirkan tugasannya sebagai seorang guru dan penyanyi sepenuh masa, Dayang Noraini secara berseleroh menjawab ' Dalam apa-apa bidang pun, kita kenalah pandai membahagikan masa sebab kalau tidak susah ... asalkan seseorang penyanyi mampu mengatur masa dengan baik tentulah segala-galanya akan berjalan lancar, "
Mayor Bandaraya KK, Datuk Iliyas Ibrahim cipta lagu joget 3K
Joget bukan sembarang joget tetapi joget memberikan mesej jelas kepada wargakota berhubung peranan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam mengekalkan Kebersihan, Keindahan dan Keselamatan di dalam bandar raya.
Itulah lagu ' Joget 3K Bandaraya ' didendangkan penyanyi sedang meningkat naik iaitu Donna Masidah yang pastinya menghiburkan sesiapa pun mendengarnya.
Sekali dengar pasti nak lagi dan tidak kurang mungkin ada yang akan berjoget kerana lagu ' Joget 3K Bandaraya ' ini adalah hasil ciptaan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim.
Abang Linz berbangga diatas usaha dan inisiatif Datuk Iliyas menyampaikan matlamat dan hala tuju DBKK bermottokan 3K iaitu Kebersihan, Keindahan dan Keselamatan melalui rentak lagu.
Ini menunjukkan Datuk Iliyas bersungguh-sungguh menjadikan bandar raya Kota Kinabalu lebih bersih, indah dan selamat sampaikan sanggup menulis lirik lagu untuk menyampaikan mesej tersebut.
Biar pun mesej disampaikan dalam bentuk lagu joget tetapi joget bukan sembarang joget ia mengandungi unsur-unsur nasihat berguna untuk wargakota sentiasa memberi komitmen kepada usaha DBKK selama ini.
Diceritakan, lagu ' Joget 3K Bandaraya ' ini merupakan salah satu lagu yang terkandung dalam album pertama Donna Masidah yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Untuk mewar-warkannya, maka lagu ' Joget 3K Bandaraya ' ini sudah pun berkumandang di corong radio Suria FM dan sempena Karnival Tahun Baru Cina 2010 yang berlangsung di Lintasan Deasoka, Jalan Gaya di ibu negeri Donna Masidah telah menyampaikan lagu tersebut.
Ramailah terhibur dan tidak kurang juga ada pengunjung terutama warga kerja DBKK seakan-akan mahu berjoget bila mendengar suara lunak merdu Donna Masidah semasa menyampaikan lagu penuh mesej itu.
Bisik-Bisik: Abang Linz dapat bayangkan kalaulah Datuk Iliyas berjoget pasti lebih meriah kerana lagu tersebut ala-ala ' Joget Pahang ' yang bukan saja menghiburkan tetapi mengenangkan kepada tarian joget Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dalam filem Hang Tuah.
Dayang Noraini bakal muncul dengan album baru
NAMANYA bukanlah baru dalam industri seni suara di Sabah tetapi hakikatnya siapa tidak mengenali Dayang Noraini yang pernah menjuarai pertandingan nyanyian Sinaran Passport Kegemilangan musim ke - 6 anjuran TV3 pada tahun 1998.
Mempertaruhkan lagu ' Menghitung Hari ' bukan sahaja menobatkannya sebagai juara tetapi turut menggondol kategori Persembahan Terbaik setelah menempuh pelbagai cabaran bermula dari peringkat kelayakan sehinggalah ke peringkat akhir.
Berkat kemenangan itu, Dayang Noraini bersama-sama lima finalis lain telah ditawarkan oleh syarikat Ambang Klasik untuk menghasilkan album kompilasi berjudul Puteri-Puteri Sinaran (1998) dan Puteri-Puteri Sinaran 2 (1999) di mana sebanyak dua buah lagu dinyanyikan dalam setiap album tersebut.
Antara lagu-lagu Dayang Noraini ialah Cinta Kita, Kilauan Bintang, Inikah Asmara dan Impian yang mengangkat namanya sebagai seorang penyanyi dari Sabah perlu diberikan perhatian berdasarkan bakat bahkan masa depan yang begitu cerah mampu mengetengahkannya sebaris seperti penyanyi jauh lebih maju di negara ini.
Setelah menghilangkan diri buat seketika, kini Dayang Noraini muncul semula membawa kelainan tersendiri apabila albumnya berjudul ' Dayang Noraini ' bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Album berkonsepkan Balada dan Progresif Rock, sebanyak enam buah lagu menghiasi album yang mendapat sentuhan Ku Sham, Rafiqa Roslee dan Manan Ngah merupakan pencipta lagu serta penulis lirik sementara Dayang Noraini juga turut menyumbangkan lagu dan lirik untuk lagu-lagunya dalam album tersebut.
Kepada peminat setia Dayang Noraini jangan lupa untuk menyaksikan pelancaran album terbarunya yang akan diadakan bertempat di Razz Ma Tazz pada 6 Mac depan bermula jam 9.30 malam di mana tiket-tiket boleh didapati di Razz Ma Tazz, pihak Skyline atau menghubungi Roslee Waheed di telefon bimbit bernombor 012-3927473.
Dayang Noraini secara luarannya adalah seorang yang lincah, periang dan suka mengusik rakan-rakannya. Sebagai anak bungsu di dalam keluarga, sikap keanak-anakannya memang sudah difahami oleh semua yang mengenalinya.
Seawal usia 3 tahun lagi, Dayang Noraini sudah didedahkan dengan program TV berbahasa Inggeris oleh ayahnya, Allahyarham Datuk Haji Sahari.
Kerana ingin menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris (BI) dan memahirkan diri dari peringkat awal maka filem-filem Inggeris serta bersiri menjadi keminatan kepada Dayang Noraini.
Tanpa disedari, dia lebih cenderung memilih program yang bercorak muzikal. Diantara program yang sangat diminatinya adalah ' The Donnie and Marie Osmond Show ’ dan ' Sha Na Na ’ .
Dengan mudah, Dayang Noraini mampu menyanyikan semula lagu-lagu yang dinyanyikan setelah mendengar dan menonton lagu-lagu yang didengarinya.
Dayang Noraini membesar seperti kanak-kanak lain. Semasa di sekolah rendah, beliau memang suka menyanyi dan menunjukkan minat yang tinggi dalam aktiviti-aktiviti kesenian.
Pernah suatu ketika, semasa berada di dalam darjah 5, dia masuk bertanding secara curi-curi tanpa diketahui keluarga kerana takut mendapat halangan.
Ketika itu, lagu ‘ Dia ’ dendangan penyanyi Sheila Majid menjadi pilihan dengan diiringi gitar tong yang dimainkan oleh tukang kebun sekolah tersebut.
Di sekolah agama pula, dia sering dipilih sebagai penyanyi solo bagi kumpulan nasyid mewakili sekolahnya. Pembabitan Dayang Noraini sebagai penyanyi solo kumpulan nasyid adalah secara kebetulan, apabila sering ‘ mengintai ’ kumpulan yang sedang berlatih bagi pertandingan yang akan berlangsung.
Suaranya yang ‘ terlebih kuat ’ telah didengari jurulatih kumpulan tersebut. Jurulatih tadi, seterusnya mempelawa Dayang Noraini yang baru berumur 9 tahun menyertai kumpulan berkenaan.
Dari hari itu juga, dia dipilih menjadi penyanyi solo kumpulan nasyid sekolahnya dan memenangi banyak pertandingan. Ayahnya banyak memberikan tips dan tunjuk ajar dalam selok-belok nyanyian dan juga gubahan lagu nasyid.
Semasa di sekolah menengah pula, bakat nyanyian yang ada pada Dayang Noraini terpendam begitu sahaja memandangkan zaman ‘ sekolah agama ’ telah berakhir selepas tamat darjah enam.
Beliau tidak lagi aktif bernasyid. Ayahnya merupakan seorang yang dihormati di kalangan masyarakat pada ketika itu, oleh yang demikian kegiatan nyanyian yang bukan berunsur dakwah tidak mendapat galakan dari beliau.
Ada pun Dayang Noraini mendapat kebenaran kerana menyertai kumpulan koir sekolah. Itu pun, menyanyi secara beramai-ramai.
Tetapi, dia tetap berpuas hati kerana telah diberikan peluang tersebut. Pernah sekali, Dayang Noraini menyertai pertandingan nyanyian berkumpulan untuk Bakat Interact pada tahun 1990.
Penyertaan itu juga dibuat secara curi-curi dek takutkan keluarga. Kumpulan tersebut menyanyikan dua buah lagu, iaitu ' Mr.Postman ' dan sebuah lagi lagu yang dinyanyikan olah Azlina Aziz dan Liza Aziz. Kumpulan ini mendapat tempat naib johan.
Selepas tamat peperiksaan SPM, Dayang Noraini telah mendapat peluang melanjutkan pelajaran di salah sebuah institut perguruan tempatan di Sabah.
Kedudukan yang agak jauh di Pantai Timur Sabah digunakan sebaik-baiknya untuk melakukan aktiviti kegemarannya iaitu menyanyi dan bersukan.
Dikatakan, Dayang Noraini sangat aktif di dalam kumpulan koir maktab, begitu juga mengambil bahagian dalam pertandingan menyanyi serta acara sukan peringkat maktab.
Beliau pernah memenangi hadiah yang berupa botol air plastik sebagai johan pertandingan tersebut. Selama dua minggu berturut-turut beliau ‘ mengusung ’ hadiah kemenangannya itu.
Semasa dalam semester akhir pengajian pada tahun 1996, Dayang Noraini menjadi semakin berani. Berbekalkan kata-kata semangat dan galakan dari seorang rakan sekelas yang telah mencungkil bakatnya.
Dayang Noraini tampil memberanikan diri menyertai satu pertandingan karaoke yang dianjurkan di Sandakan. Penyertaan kali ini mendapat sokongan padu dari rakan-rakan sekelas dan semaktab yang juga menghadiri pertandingan tersebut.
Bermula dari saat itu, Dayang Noraini telah menyertai beberapa pertandingan karaoke di sekitar negeri ini termasuklah mengikuti ujibakat pertandingan nyanyian Sinaran Passport Kegemilangan musim ke - 6 anjuran TV3 pada tahun 1998 yang menobatkannya sebagai juara.
Bengkel Kerjaya Pengacara TV Bersama SUARAN SHAH
ADAKAH anda mempunyai impian untuk muncul di kaca TV, jika jawapannya ' Ya ' sertailah Bengkel Kerjaya Pengacara TV bersama SUARAN SHAH untuk mengetahui lebih lanjut tentang teknik-teknik asas pengacaraan TV apakah cabaran serta persediaan yang harus dihadapi oleh seorang pengacara TV.
Bengkel ini akan diadakan selama dua hari bermula 27 Februari di Pusat Bimbingan Usahawan Sabah, Wisma SEDCO, Kg Air di ibu negeri.
Bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, bengkel ini dikelolakan oleh ProactivEdge Training Services.
Bercakap kepada Abang Linz semasa dihubungi, Suaran Shah memberitahu peserta bengkel akan didedahkan dengan kaedah pengacaraan TV yang berkesan dan menepati kehendak semasa.
Katanya, pada hari pertama peserta akan mempelajari teori asas pengacaraan TV manakala hari kedua peserta akan melalui situasi sebenar mengacara rancangan TV menerusi tugasan yang bakal diberikan.
" Objektif kita mengadakan bengkel seumpama ini mahu memberi pendedahan kepada peserta untuk menyelami kerjaya dunia pengacaraan TV. Dengan adanya bengkel berkenaan membantu dalam melahirkan bakat-bakat baru pengacara TV dari negeri Sabah.
" Kita mengalu-alukan kepada sesiapa sahaja untuk menyertai bengkel kerana ia akan memberi pengalaman sebenar melalui pelbagai latihan praktikal dan sesi ' role play ' dalam bengkel yang akan saya kendalikan itu.
" Persoalannya di sini, adakah anda mempunyai impian untuk muncul di kaca TV, adakah anda ingin mengetahui teknik-teknik asas pengacaraan TV ? Jika jawapannya Ya, maka sertailah bengkel ini bagi merealisasikan impian anda sebagai seorang pengaraca TV, " kata Suaran Shah.
Ditanya siapakah yang layak menyertai bengkel berkenaan, Suaran Shah memberitahu sesiapa sahaja layak sama ada lepasan sekolah, kolej, universiti dan para pelajar dalam bidang komunikasi termasuklah mereka yang bercita-cita sebagai pengacara TV, pembaca berita, pengacara majlis serta sesiapa sahaja yang ingin mengenali dan mengetahui selok belok dunia pengacaraan TV.
Suaran Shah menjelaskan banyak manfaat apabila mengikuti bengkel berkenaan kerana peserta akan mengetahui rahsia dan tip-tip bagaimana boleh berjaya menjadi seorang pengacara TV yang berkaliber dan berkeyakinan tinggi.
Katanya lagi, pada hari pertama peserta akan didedahkan dengan pengenalan bengkel, cabaran sebagai pengacara TV, persediaan seorang pengacara TV, interaksi dengan kamera dan penampilan diri sementara hari kedua adalah aktiviti ' role play ' serta praktikal sebagai pengacara TV dalam pelbagai senario.
Untuk keterangan lanjut berhubung bengkel bolehlah menghubungi Suaran Shah di telefon bimbit bernombor 0168421542.
Tarikh tutup penyertaan pada 20 Februari ini.
Kerjaya Suaran Shah dalam pengacaraan TV bermula setelah terpilih sebagai pengacara rancangan Aok Bah, sebuah rancangan dokumentari yang berkisar tentang pelancongan, kebudayaan, ekonomi dan sosial di negeri Sabah pada tahun 2008.
Kini, kerjaya beliau telah berkembang sebagai pengacara tetap untuk rancangan Lambai Limbai iaitu satu-satunya rancangan bicarawara yang merungkai pelbagai persoalan berkaitan isu-isu semasa di Sabah yang disiarkan menerusi RTM di saluran TV1.
Selain itu, beliau juga pernah diberi kepercayaan untuk mengacara siaran langsung pelbagai majlis rasmi kerajaan peringkat kebangsaan antaranya
Majlis Rumah Terbuka Tadau Kaamatan 2008 / 2009, Perhimpunan Bersama Perdana Menteri di Padang Merdeka, Kota Kinabalu 2009, Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke - 52 di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas 2009 dan Majlis Rumah Terbuka Krismas.
Perkembangan terkini, Suaran Shah adalah wajah terbaru sebagai penyampai Berita Wilayah untuk negeri Sabah yang disiarkan pada pukul 6.petang di TV1.
Langgan:
Catatan (Atom)