Bengkel Kerjaya Pengacara TV Bersama SUARAN SHAH


ADAKAH anda mempunyai impian untuk muncul di kaca TV, jika jawapannya ' Ya ' sertailah Bengkel Kerjaya Pengacara TV bersama SUARAN SHAH untuk mengetahui lebih lanjut tentang teknik-teknik asas pengacaraan TV apakah cabaran serta persediaan yang harus dihadapi oleh seorang pengacara TV.

Bengkel ini akan diadakan selama dua hari bermula 27 Februari di Pusat Bimbingan Usahawan Sabah, Wisma SEDCO, Kg Air di ibu negeri.

Bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, bengkel ini dikelolakan oleh ProactivEdge Training Services.

Bercakap kepada Abang Linz semasa dihubungi, Suaran Shah memberitahu peserta bengkel akan didedahkan dengan kaedah pengacaraan TV yang berkesan dan menepati kehendak semasa.

Katanya, pada hari pertama peserta akan mempelajari teori asas pengacaraan TV manakala hari kedua peserta akan melalui situasi sebenar mengacara rancangan TV menerusi tugasan yang bakal diberikan.

" Objektif kita mengadakan bengkel seumpama ini mahu memberi pendedahan kepada peserta untuk menyelami kerjaya dunia pengacaraan TV. Dengan adanya bengkel berkenaan membantu dalam melahirkan bakat-bakat baru pengacara TV dari negeri Sabah.

" Kita mengalu-alukan kepada sesiapa sahaja untuk menyertai bengkel kerana ia akan memberi pengalaman sebenar melalui pelbagai latihan praktikal dan sesi ' role play ' dalam bengkel yang akan saya kendalikan itu.

" Persoalannya di sini, adakah anda mempunyai impian untuk muncul di kaca TV, adakah anda ingin mengetahui teknik-teknik asas pengacaraan TV ? Jika jawapannya Ya, maka sertailah bengkel ini bagi merealisasikan impian anda sebagai seorang pengaraca TV, " kata Suaran Shah.

Ditanya siapakah yang layak menyertai bengkel berkenaan, Suaran Shah memberitahu sesiapa sahaja layak sama ada lepasan sekolah, kolej, universiti dan para pelajar dalam bidang komunikasi termasuklah mereka yang bercita-cita sebagai pengacara TV, pembaca berita, pengacara majlis serta sesiapa sahaja yang ingin mengenali dan mengetahui selok belok dunia pengacaraan TV.

Suaran Shah menjelaskan banyak manfaat apabila mengikuti bengkel berkenaan kerana peserta akan mengetahui rahsia dan tip-tip bagaimana boleh berjaya menjadi seorang pengacara TV yang berkaliber dan berkeyakinan tinggi.

Katanya lagi, pada hari pertama peserta akan didedahkan dengan pengenalan bengkel, cabaran sebagai pengacara TV, persediaan seorang pengacara TV, interaksi dengan kamera dan penampilan diri sementara hari kedua adalah aktiviti ' role play ' serta praktikal sebagai pengacara TV dalam pelbagai senario.

Untuk keterangan lanjut berhubung bengkel bolehlah menghubungi Suaran Shah di telefon bimbit bernombor 0168421542.

Tarikh tutup penyertaan pada 20 Februari ini.

Kerjaya Suaran Shah dalam pengacaraan TV bermula setelah terpilih sebagai pengacara rancangan Aok Bah, sebuah rancangan dokumentari yang berkisar tentang pelancongan, kebudayaan, ekonomi dan sosial di negeri Sabah pada tahun 2008.

Kini, kerjaya beliau telah berkembang sebagai pengacara tetap untuk rancangan Lambai Limbai iaitu satu-satunya rancangan bicarawara yang merungkai pelbagai persoalan berkaitan isu-isu semasa di Sabah yang disiarkan menerusi RTM di saluran TV1.

Selain itu, beliau juga pernah diberi kepercayaan untuk mengacara siaran langsung pelbagai majlis rasmi kerajaan peringkat kebangsaan antaranya
Majlis Rumah Terbuka Tadau Kaamatan 2008 / 2009, Perhimpunan Bersama Perdana Menteri di Padang Merdeka, Kota Kinabalu 2009, Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke - 52 di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas 2009 dan Majlis Rumah Terbuka Krismas.

Perkembangan terkini, Suaran Shah adalah wajah terbaru sebagai penyampai Berita Wilayah untuk negeri Sabah yang disiarkan pada pukul 6.petang di TV1.

0 ulasan:

Catat Ulasan