Dayang Noraini bakal muncul dengan album baru


NAMANYA bukanlah baru dalam industri seni suara di Sabah tetapi hakikatnya siapa tidak mengenali Dayang Noraini yang pernah menjuarai pertandingan nyanyian Sinaran Passport Kegemilangan musim ke - 6 anjuran TV3 pada tahun 1998.

Mempertaruhkan lagu ' Menghitung Hari ' bukan sahaja menobatkannya sebagai juara tetapi turut menggondol kategori Persembahan Terbaik setelah menempuh pelbagai cabaran bermula dari peringkat kelayakan sehinggalah ke peringkat akhir.

Berkat kemenangan itu, Dayang Noraini bersama-sama lima finalis lain telah ditawarkan oleh syarikat Ambang Klasik untuk menghasilkan album kompilasi berjudul Puteri-Puteri Sinaran (1998) dan Puteri-Puteri Sinaran 2 (1999) di mana sebanyak dua buah lagu dinyanyikan dalam setiap album tersebut.

Antara lagu-lagu Dayang Noraini ialah Cinta Kita, Kilauan Bintang, Inikah Asmara dan Impian yang mengangkat namanya sebagai seorang penyanyi dari Sabah perlu diberikan perhatian berdasarkan bakat bahkan masa depan yang begitu cerah mampu mengetengahkannya sebaris seperti penyanyi jauh lebih maju di negara ini.

Setelah menghilangkan diri buat seketika, kini Dayang Noraini muncul semula membawa kelainan tersendiri apabila albumnya berjudul ' Dayang Noraini ' bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Album berkonsepkan Balada dan Progresif Rock, sebanyak enam buah lagu menghiasi album yang mendapat sentuhan Ku Sham, Rafiqa Roslee dan Manan Ngah merupakan pencipta lagu serta penulis lirik sementara Dayang Noraini juga turut menyumbangkan lagu dan lirik untuk lagu-lagunya dalam album tersebut.

Kepada peminat setia Dayang Noraini jangan lupa untuk menyaksikan pelancaran album terbarunya yang akan diadakan bertempat di Razz Ma Tazz pada 6 Mac depan bermula jam 9.30 malam di mana tiket-tiket boleh didapati di Razz Ma Tazz, pihak Skyline atau menghubungi Roslee Waheed di telefon bimbit bernombor 012-3927473.

Dayang Noraini secara luarannya adalah seorang yang lincah, periang dan suka mengusik rakan-rakannya. Sebagai anak bungsu di dalam keluarga, sikap keanak-anakannya memang sudah difahami oleh semua yang mengenalinya.

Seawal usia 3 tahun lagi, Dayang Noraini sudah didedahkan dengan program TV berbahasa Inggeris oleh ayahnya, Allahyarham Datuk Haji Sahari.

Kerana ingin menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris (BI) dan memahirkan diri dari peringkat awal maka filem-filem Inggeris serta bersiri menjadi keminatan kepada Dayang Noraini.

Tanpa disedari, dia lebih cenderung memilih program yang bercorak muzikal. Diantara program yang sangat diminatinya adalah ' The Donnie and Marie Osmond Show ’ dan ' Sha Na Na ’ .

Dengan mudah, Dayang Noraini mampu menyanyikan semula lagu-lagu yang dinyanyikan setelah mendengar dan menonton lagu-lagu yang didengarinya.

Dayang Noraini membesar seperti kanak-kanak lain. Semasa di sekolah rendah, beliau memang suka menyanyi dan menunjukkan minat yang tinggi dalam aktiviti-aktiviti kesenian.

Pernah suatu ketika, semasa berada di dalam darjah 5, dia masuk bertanding secara curi-curi tanpa diketahui keluarga kerana takut mendapat halangan.

Ketika itu, lagu ‘ Dia ’ dendangan penyanyi Sheila Majid menjadi pilihan dengan diiringi gitar tong yang dimainkan oleh tukang kebun sekolah tersebut.

Di sekolah agama pula, dia sering dipilih sebagai penyanyi solo bagi kumpulan nasyid mewakili sekolahnya. Pembabitan Dayang Noraini sebagai penyanyi solo kumpulan nasyid adalah secara kebetulan, apabila sering ‘ mengintai ’ kumpulan yang sedang berlatih bagi pertandingan yang akan berlangsung.

Suaranya yang ‘ terlebih kuat ’ telah didengari jurulatih kumpulan tersebut. Jurulatih tadi, seterusnya mempelawa Dayang Noraini yang baru berumur 9 tahun menyertai kumpulan berkenaan.

Dari hari itu juga, dia dipilih menjadi penyanyi solo kumpulan nasyid sekolahnya dan memenangi banyak pertandingan. Ayahnya banyak memberikan tips dan tunjuk ajar dalam selok-belok nyanyian dan juga gubahan lagu nasyid.

Semasa di sekolah menengah pula, bakat nyanyian yang ada pada Dayang Noraini terpendam begitu sahaja memandangkan zaman ‘ sekolah agama ’ telah berakhir selepas tamat darjah enam.

Beliau tidak lagi aktif bernasyid. Ayahnya merupakan seorang yang dihormati di kalangan masyarakat pada ketika itu, oleh yang demikian kegiatan nyanyian yang bukan berunsur dakwah tidak mendapat galakan dari beliau.

Ada pun Dayang Noraini mendapat kebenaran kerana menyertai kumpulan koir sekolah. Itu pun, menyanyi secara beramai-ramai.

Tetapi, dia tetap berpuas hati kerana telah diberikan peluang tersebut. Pernah sekali, Dayang Noraini menyertai pertandingan nyanyian berkumpulan untuk Bakat Interact pada tahun 1990.

Penyertaan itu juga dibuat secara curi-curi dek takutkan keluarga. Kumpulan tersebut menyanyikan dua buah lagu, iaitu ' Mr.Postman ' dan sebuah lagi lagu yang dinyanyikan olah Azlina Aziz dan Liza Aziz. Kumpulan ini mendapat tempat naib johan.

Selepas tamat peperiksaan SPM, Dayang Noraini telah mendapat peluang melanjutkan pelajaran di salah sebuah institut perguruan tempatan di Sabah.

Kedudukan yang agak jauh di Pantai Timur Sabah digunakan sebaik-baiknya untuk melakukan aktiviti kegemarannya iaitu menyanyi dan bersukan.

Dikatakan, Dayang Noraini sangat aktif di dalam kumpulan koir maktab, begitu juga mengambil bahagian dalam pertandingan menyanyi serta acara sukan peringkat maktab.

Beliau pernah memenangi hadiah yang berupa botol air plastik sebagai johan pertandingan tersebut. Selama dua minggu berturut-turut beliau ‘ mengusung ’ hadiah kemenangannya itu.

Semasa dalam semester akhir pengajian pada tahun 1996, Dayang Noraini menjadi semakin berani. Berbekalkan kata-kata semangat dan galakan dari seorang rakan sekelas yang telah mencungkil bakatnya.

Dayang Noraini tampil memberanikan diri menyertai satu pertandingan karaoke yang dianjurkan di Sandakan. Penyertaan kali ini mendapat sokongan padu dari rakan-rakan sekelas dan semaktab yang juga menghadiri pertandingan tersebut.

Bermula dari saat itu, Dayang Noraini telah menyertai beberapa pertandingan karaoke di sekitar negeri ini termasuklah mengikuti ujibakat pertandingan nyanyian Sinaran Passport Kegemilangan musim ke - 6 anjuran TV3 pada tahun 1998 yang menobatkannya sebagai juara.

0 ulasan:

Catat Ulasan