Bisik-Bisik Bersama Abang Linz


Anugerah Juara Lagu (AJL) ke - 24 di TV3 menobatkan Aizat sebagai juara AJL kali ini setelah mempertaruhkan lagu ' Pergi ' dengan syahdu dan mendayu-dayu.

Pun begitu, di sebalik kemenangan Aizat iaitu bintang Akademi Fantasia (AF) musim kelima kedengaran suara-suara kecil kononnya Stacy sepatutnya dinobatkan sebagai juara AJL atau setidak-tidaknya memenangi persembahan terbaik.

Ramai peminat setia Stacy, juara AF6 itu terutamanya di Sabah melahirkan kekecewaan apabila Stacy yang mempertaruhkan lagu ' Pakai Buang ' dipersembahkan dengan cukup bertenaga dan mantap disamping kombinasi hebat penari-penari tidak sedikit pun menarik perhatian pihak juri.

Malah, di akhir persembahan Stacy, penonton yang membanjiri Stadium Putra di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan juga di rumah dikejutkan dengan bunyi dentuman bunga api mengakhiri persembahan mantap Stacy yang menggegarkan pentas AJL ke - 24 ini.

Baru-baru ini, Abang Linz sempat berborak-borak dengan beberapa penyampai radio internet di ibu negeri memaklumkan ramai tidak berpuas hati selepas kegagalan Stacy untuk memenangi sebarang kategori dalam pertandingan paling berprestij di negara ini.

Menurut mereka, Stacy selayaknya memenangi salah satu kategori yang dipertandingkan tetapi sayang sekali persembahan kuasa kuda Stacy sedikit pun tidak meyakinkan pihak juri.

" Ramai kecewa Abang Linz ... kami menerima banyak kiriman di Facebook yang dihantar pendengar semasa kami bersiaran. Nampaknya, peminat setia Stacy terutamanya di sini kecewa selepas Stacy tidak menang, " beritahu seorang penyampai radio internet kepada Abang Linz.

Bagaimanapun, bagi Abang Linz, adat sesuatu pertandingan ada kalah dan ada menang tidak bermakna kegagalan Stacy menyebabkannya kecewa sepanjang masa sedangkan masa depan terbentang luas.

Tentunya, usaha Stacy tidak terhenti di situ sahaja malahan dia mampu melakukan yang terbaik berdasarkan penampilan menariknya dengan mempersembahkan persembahan bertenaga ala-ala penyanyi barat ' Avril Lavigne ' .

Abang Linz berpendapat bahawa bintang Stacy akan terus bersinar dan mungkin satu-satunya penyanyi di Malaysia yang mampu membuat persembahan ligat diatas pentas sambil menyanyi dan menari.

Bercakap kurangnya penyanyi berbakat di Sabah, tidak timbul lagi kerana kita telah mempunyai penyanyi harapan yang bukan sahaja memartabatkan industri muzik Sabah bahkan negara ini.

Itulah Stacy, anak kelahiran dari Kampung Tuavon, Penampang ini bintang baru yang akan menggegarkan industri muzik tanahair.

Semoga maju jaya Stacy, ' Sabah Boleh Bah ' .

Bisik-Bisik: Abang Linz suka melihat Stacy menari diatas pentas sambil rambutnya yang mengerbang

Mata Wawa El-Daimond mengancam dan memukau .. ala-ala heroin filem James Bond 007


TIDAK syak lagi bah, industri seni lakon di Negeri Sabah tidak pernah atau pun ketandusan pelakon-pelakon hebat yang cantik jelita dan boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Seperti dalam gambar ini, mata yang mengancan dan memukau membuatkan sesiapa sahaja memandangnya pasti terpesona.

Kalau nak tahu, mata yang tajam ini adalah kepunyaan Wawa El-Daimond seorang ' Model ' yang sedang meningkat naik sekarang.

Abang Linz berpendapat Wawa akan menyinar sebagai seorang bintang baru di Sabah yang bakal menggegarkan persada industri hiburan negeri ini.

Kalau diperhatikan dan direnungkan sejenak, mata Wawa yang tajam tetapi tetap ayu seperti heroin filem-filem arab atau pun heroin filem James Bond 007.

Kita berikan sokongan padu kepada Wawa untuknya mengorak langkah ke hadapan sekali gus memeriahkan industri hiburan di negeri ini.

Semoga maju jaya Wawa !!

Kehijauan rumput memikat Mohd Jasni Ahmad Shukri


MANUSIA, sememangnya tidak boleh dipisahkan dengan rumput sejenis tumbuhan yang lembut berwarna kehijau-hijauan membuatkan ia menjadi penyeri kepada kehidupan manusia memandangkan permukaannya yang rata tetapi menarik mata memandang.

Kita mengambil contoh sukan bolasepak, permainan nombor satu di dunia ini pastinya sukar dimainkan tanpa rumput dan beberapa lagi kegiatan sukan yang menggunakan permukaan rumput termasuk sukan golf.

Manusia terpaksa membelanjakan berjuta-juta ringgit semata-mata untuk membuat rumput tiruan tatkala permukaannya yang rata menyebabkan sesuatu permainan bertambah baik dan profesional.

Manakala di rumah-rumah, rumput yang tumbut menghijau menyerikan persekitaran kediaman banglo serta teres sekali gus mencetuskan suasana ' Bumi Hijau ' .

Sifat rumput yang lembut tetapi penuh keberanian itu membuatkan Mohd Jasni Ahmad Shukri atau Dj rumputt tertarik lalu mengambil nama rumput sebagai nama samaran untuk bertugas di radio gelombang internet Utara.FM.

' Identiti Dj rumputt sebagaimana nama samaran di internet tercetus selepas melalui pelbagai pengalaman pahit dalam hidup tetapi menjadikan sifat rumput sebagai penguat semangat untuk terus menjalani kehidupan.

" Jadilah rumput yang lemah lembut, tak luruh dipukul ribut ... inilah yang saya aplikasikan dalam diri saya untuk dijadikan sebagai panduan, " katanya kepada Abang Linz semasa ditemui baru-baru ini.

Beliau yang terkenal dengan tagline ' Dj rumputt In da haus ' dan berasal dari Kg Salimpodon Laut, Pitas ini memberitahu bahawa penambahan huruf ' T ' digunakan bagi membezakan antara identiti beliau di internet dan nama tumbuhan.

Menceritakan mengenai radio gelombang Utara.FM, beliau berkata nama samaran Dj rumputt tercipta setelah terbinanya radio talian terus ' Online ' berkomuniti pertama di Sabah iaitu PONET.Fm yang diwujudkan akhir tahun 2008.

Setelah beberapa ketika, katanya, radio berkenaan telah dinaiktaraf menjadi Utara.FM dan dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 25 Julai 2009 di Rumah Rehat Lohan, Ranau.

Dj rumputt menjelaskan sebagai radio rasmi gabungan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini, radio Utara.FM boleh di dengar menggunakan frekunsi internet dengan melayari http://www.utarafm.net

Connie Mickey Jangki muncul dengan album MTV Karaoke ' Nulu Kinabalu '


SEBAGAIMANA perasaan artis lain yang bakal memiliki album MTV / Karaoke sulungnya sendiri, demikian juga halnya yang dirasakan oleh Connie Mickey Jangki seorang penyanyi tempatan yang sebelum ini telah pun menghasilkan albumnya dalam bentuk Audio CD.

Kemunculan album MTV / Karaoke yang berjudul ' Nulu Kinabalu ' yang sebelum ini hanya boleh didapati dalam bentuk Audio CD menamatkan penantian peminatnya yang selama ini tidak henti-henti bertanya ' Bilakah MTV / Karaoke Nulu Kinabalu akan berada di pasaran ? '

Percaya atau tidak, namun hakikatnya pada 6 Disember 2009 satu majlis pelancaran album berkenaan telah diadakan di Buhavan Square Donggongan, Penampang.

Album berkenaan diterbitkan syarikat Moe's Music Production, sebuah syarikat rakaman yang tidak asing lagi di bandaraya Kota Kinabalu.

" Walaupun hanya album berbentuk mini MTV / Karaoke, saya berpuas hati untuk mengkongsikan kegembiraan ini bersama-sama peminat saya yang selama ini banyak memberi sokongan sejak saya menjejaki kaki di arena seni suara.

" Terima kasih juga kepada semua yang terlibat terutama syarikat Moe's Music Production yang banyak membantu dalam pelancaran album tersebut, " katanya.

Rogers minat ' Selipar Jepun ' lalu mengambil nama DjSaliparjipun kerana keunikannya


PENDUDUKAN Jepun di Tanah Melayu termasuk juga Borneo di Sabah sekitar awal tahun 1940-an dahulu sememangnya meninggalkan kesan kepada mereka yang pernah melalui era penjajahan negara matahari terbit itu.

Sehingga hari ini, orang-orang tua tidak akan melupakan segala pahit maung semasa penjajahan Jepun atau tentera ' Nippon ' ini yang kononnya agak garang sedikit.

Bagaimanapun, penjajahan Jepun sedikit sebanyak meninggalkan kesan sejarah seperti contohnya ' Selipar Jepun ' apakah sepatu ini berasal daru negara tersebut ?

Selipar Jepun, sememangnya tidak asing lagi kepada rakyat Malaysia sehingga sekarang sepatu itu masih digunakan semua golongan tanpa mengira usia dan latar belakang sama ada di rumah mahu pun di luar rumah ia tetap menjadi pilihan.

Bagi, Rogers Jack Teo iaitu DJ SabahanDotFM salah satu radio di jaringan internet berkata keunikan di sebalik nama Selipar Jepun menyebabkannya tertarik lalu menggunakan nama samaran sebagai DjSaliparjipun semasa mendaftarkan diri dalam laman sesawang radio tersebut.

Tambahan, pula katanya, beliau memang meminati Selipar Jepun sejak usia kecil lagi dan selalu memakainya ke mana sahaja lalu berpendapat bahawa inilah masanya untuk menggunakannya sempena nama Selipar Jepun sebagai nama samaran untuk bertugas sebagai DJ SabahanDotFM.

" Apa pun, saya berazam untuk menjadi penyampai radio online yang boleh berbakti kepada masyarakat selain memberikan hiburan kepada semua pendengar di mana sahaja berada, " kata Rogers atau DjSaliparjipun yang berusia 24 tahun berasal dari Tuaran itu.

Dj Black ingin berbakti kepada masyarakat


CUBA bayangkan apa akan terjadi jika dunia pada hari ini tanpa talian telekomunikasi memungkinkan manusia tidak akan menentu tatkala berlaku keadaan kucar-kacir.

Tetapi, itu semua setakat bayangan sahaja sebab manusia yang dikurniakan akal dan fikiran telah memanfaatkan sepenuhnya apabila zaman ke zaman berlaku perubahan sehingga kepada kemajuan Teknologi Maklumat (IT) di abad tahun 2000 ini.

Akibat ledakan IT yang semakin pesat membangun, semuanya pun berubah bukan sahaja dari segi telefon berwarna hitam menghiasi rumah sehingga kepada telefon bimbit bahkan radio juga turut berubah.

Kalau dulu, sukar sekali untuk mendapatkan siaran radio sampaikan seseorang itu terpaksa pergi ke luar rumah atau memasangkan kabel lebih tinggi semata-mata untuk mendapatkan siaran radio yang sedang ke udara.

Sekarang ini tidak lagi, dengan mengklik sahaja pada butang komputer kita akan memperoleh siaran radio sama ada di rumah, pejabat, kedai mahu pun dalam kenderaan seseorang boleh mendapatkan lebih banyak maklumat terkini sambil berhibur dan bersembang dengan rakan-rakan.

Itulah namanya ' Radio Internet ' yang kini semakin mendapat tempat di kalangan pendengar tanpa mengira usia dan latar belakang.

Di Sabah, radio talian terus yang semakin popular adalah radio SabahanDotFM.

SabahanDotFM yang bertagline ' Siuk Bah Di Dangar ' ini mempunyai ramai penyampai-penyampai radio atau pun DJ.

Salah seorang DJ SabahanDotFM adalah DJ Black juga tidak kurang hebatnya.

DJ Black yang terkenal dengan tagline ' Wokeh Pinoh ' semasa ke udara dalam segmen sembang petang itu berkata keputusannya untuk menceburi kerjaya DJ di radio talian terus sebenarnya mahu menghiburkan hati pendengar dan berbakti kepada komuniti SabahanDotFM.

DJ Black, 25, atau nama sebenarnya Alen H.Yunus berasal dari Lahad Datu itu memberitahu bahawa dia berazam untuk membuat yang terbaik setiap kali ke udara kerana sudah menjadi cita-citanya mahu berbakti kepada masyarakat meski pun melalui radio ' Online ' .

W.O.R.M akan menggegarkan industri muzik di Sabah


KEMUNCULAN kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai World of Rock Music atau W.O.R.M mampu menggegarkan industri muzik di negara ini khususnya Sabah berdasarkan penampilan bertenaga kumpulan yang berkonsepkan rock terkini ini.

Ditubuhkan pada tahun 1998, W.O.R.M mengorak langkah dengan menampilkan konsep genre muzik ' Visual Kei ' yakni ala-ala Japanese Rock dan kemunculan mereka mampu menarik perhatian penggemar muzik rock apabila W.O.R.M mempersembahkan lagu-lagu dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Jepun.

Dianggotai Kay (vocal), Jay (gitar), Adie (gitar), Bee (Bass) dan Mel (drum), W.O.R.M telah pun melancarkan album hit pertama mereka berjudul ' Destiny in A Dacade ' berlangsung di Sheninigan Hyatt Regency Kinabalu di Bandaraya Kota Kinabalu baru-baru ini.

Sebanyak sembilan buah lagu dipertaruhkan dalam album berkenaan antaranya 2 A.M, Hati Luka, Dream, Live Again, Set Tsu Na, Hikari, Nigth Vision, Tiada Lagi dan A.C.U

Ia diterbitkan1Kinabalu Entertainment dengan Pengurus Produksi Jenk Afzul, Promosi Audrey dan studio rakamannya dikendalikan oleh Refuge Studio, RAM Studio dan Visual Kei Studio.

Ketika ditemui Abang Linz, Kay yang mewakili kumpulannya memberitahu mereka merasa gembira dengan kelahiran album tersebut.

" Inilah konsep rock yang kami tampilkan dan kemunculan kami dalam industri muzik di Sabah diharap dapat memeriahkan lagi industri hiburan di negara ini terutamanya di negeri ini, " ujarnya.

Wawa El-Daimond bakal menyinar sebagai seorang ' Model '


SESUATU yang indah dinobatkan sebagai jelitawan walaupun begitu ramai wanita yang cantik menawan namun dalam pertandingan ratu cantik seorang sahaja akan terpilih sekali gus menjadi kenangan terindah sepanjang hidup. Hidup ini bagaikan bintang bergemerlapan bila dinobatkan sebagai jelitawan tatkala kerjaya di puncak kejayaan melengkapkan personaliti seorang wanita anggun. Bidang peragaan atau ' Modelling ' itulah namanya, setiap wanita tidak akan lari daripada mengimpikan untuk memiliki tubuh badan dan paras rupa yang menawan.
Kecantikan seorang wanita terserlah bila mereka menyertai pertandingan-pertandingan ratu cantik kerana kecantikan dimiliki akan diadili seadil-adilnya. Apa pun, kecantikan seorang wanita bukan hanya pada susuk tubuh badan tetapi terletak pada paras rupa selain memiliki personaliti yang menarik dan berpengetahuan tinggi. Ini diakui sendiri seorang Model tidak asing lagi di Sabah, Nur Jawaheer Ismail atau lebih mesra dengan panggilan Wawa, 22, berpendapat tidak lengkap kecantikan seorang wanita jika tidak bijak dalam menjawab soalan-soalan. " Memiliki pengetahuan am yang tinggi amat dititikberatkan dalam pertandingan ratu cantik. Bukan sahaja mengambil kira kecantikan seseorang itu tetapi turut menilai sejauh mana kebijaksanaan seseorang peserta ... ini sangat penting, " katanya. Bagaimanapun, gadis mudah manja yang memiliki ketinggian 5 kaki 8 inci mengakui meski pun tidak berpeluang untuk menyertai pertandingan seperti Miss Sabah Malaysia World tetapi beliau berharap akan ada peluang di masa akan datang.

Norizs kini tampil dengan imej terbarunya pasti mantap


Siapa tidak mengenali Norizs, penyanyi yang sedang meningkat naik di Sabah. Tidak lama lagi, Norizs akan muncul dengan album pertamanya terbitan Grand Studio Pictures di Alam Mesra, 1Borneo, Jalan Sulaman, Kota Kinabalu. Jangan lupa, beli yang original bila album gadis kecil molek ini akan berada di pasaran. Lagu-lagunya berentak pop balada dan pastinya akan meletup kerana beberapa buah lagu dijangka hit. Tahniah kepada Norizs berkat kegigihan dan kesabaran selama ini akhirnya akan muncul juga dengan album yang pertama. Norizs baik orangnya malah begitu mesra bila berjumpa dengan sesiapa pun. Menarik mengenai Norizs adalah sikapnya yang suka bekerjasama dengan wartawan hiburan. Suatu hari nanti Norizs akan pergi jauh sebaris dengan penyanyi-penyanyi di Semenanjung Malaysia malah bintang-bintang Akademi Fantasia dari Sabah. Segala penat lelah Norizs selama ini tentunya berbaloi kerana bakat menyanyi yang ada padanya menjadi pakej untuk Norizs mengorak langkah ke hadapan. Pastinya, Abang Linz ingin memberikan sedikit nasihat tentang mutu persembahan perlu dipertingkatkan disamping itu Norizs perlu banyak belajar bagaimana berinteraksi dengan penonton semasa diatas pentas. Semoga maju jaya Norizs ...

Terserempak dengan Miss Malaysia Universe 2009 / 2010


Baru-baru ini, Abang Linz membuat liputan satu Pesta Makanan Gerai-Gerai Malaysia di Lido dekat Penampang. Acara yang dirasmikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun seperti biasa berjalan lancar. Tapi, korang tahu ke .. tiba-tiba suasana bertambah meriah apabila kehadiran pemenang Miss Malaysia Universe 2009 / 2010 sebagai tetamu khas di majlis tersebut. Apa lagi, ramailah yang mengambil gambar Jonnable .. maklumlah si cantik manis jelita yang baru sahaja dinobatkan sebagai pemenang ratu cantik di peringkat kebangsaan. Mana tidak, terbeliak terus mata orang memandangnya sampai tidak tahu lagi yang mana udang yang mana ketam kerana masa itu orang ramai sedang menikmati hidangan. Melihat begitu ramai yang bergambar dengan Jonnable, Abang Linz pun tidak melepaskan peluang untuk bergambar sama. Siap lagi dengan minta nombor telefon Jonnable, bukannya apa, korang tentu tahu sebagai wartawan hiburan mesti ramai kawan bukan sahaja golongan artis malah ' Model ' .

Layari blog Abang Linz untuk mengetahui perkembangan industri hiburan di Sabah



Assalamualaikum .. saya Mohammed Rozzalin Hj Mohd Hashim @ Abang Linz adalah wartawan dan jurugambar akhbar Utusan Borneo di Kota Kinabalu. Saya berasal dari Kampung Bokara di Sandakan. Saya memikirkan sudah tiba masanya untuk memiliki blog sendiri yang membicarakan mengenai perkembangan industri hiburan di Sabah. Sejak mengendalikan ruangan Hiburan Sabah di Utusan Borneo tentunya begitu banyak berita tentang artis-artis Sabah sama ada mereka merupakan penyanyi, pelakon, pelawak mahu pun pengarah atau penerbit. Hampir kesemuanya telah pun menghiasi ruangan Hiburan Sabah yang dahulunya disiarkan setiap hari Isnin tetapi hari ini ditukar kepada hari Ahad. Saya tidak menyangka sama sekali akhirnya dapat mengenali begitu ramai artis-artis Sabah sama ada yang sudah berjaya mahu pun pendatang baru semuanya melahirkan harapan tinggi untuk berjaya sebagai ' Orang Seni ' sekali gus memartabatkan industri hiburan di negeri ini khususnya. Seronok juga berjumpa dengan bintang-bintang Akademi Fantasia (AF) seperti juara AF6 Stacy, Adam AF2, Felix Agus AF3 dan Marsha AF3 termasuklah Den Bisa, Abu Bakar Ellah @ Ampal, Reynaldo Rey, Atama, Norizs dan ramai lagi. Malah, pelawak seperti Koboi dan Luis Chin sehinggalah kepada penggiat seni tersohor di Sabah iaitu Deddy Mo.Borhan yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Abang Linz menjadi rakan baik kepada mereka maklumlah wartawan hiburan mestilah rapat dengan artis apa lagi mereka merupakan orang Sabah. Kalau dahulu, Abang Linz hanya berpeluang melihat artis top di celah-celah kesesakan orang ramai tapi sekarang semuanya berbeza. Itulah kelebihan wartawan apa lagi wartawan hiburan sudah menjadi tugasannya untuk mendapatkan berita terbaru tentang perkembangan seseorang artis. Deddy M.Borhan pula banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar tentang bagaimana menjadi wartawan hiburan yang baik. Pun begitu, Abang Linz amat berbangga akhirnya dapat berjumpa dengan Deddy M.Borhan yang popular menerusi filemnya ' Keluarga Comat ' dan ' Azura ' ini. Sementara itu, paling menyeronokkan kepada saya sejak mengendalikan ruangan gosip ' Bisik-Bisik Bersama Abang Linz ' setiap gerak geri artis Sabah sama ada hot atau tidak hot akan di bisik-bisik di ruangan kecil tersebut. Pembaca setia Utusan Borneo kini tertunggu-tunggu Hiburan Sabah semata-mata mahu membaca Bisik-Bisik yang menceritakan tentang gosip artis-artis dari negeri kita. Abang Linz pun seakan-akan tidak percaya, akhirnya mimpi menjadi kenyataan apabila diberikan peluang untuk mengendalikan ruangan hiburan lengkap dengan gambar untuk ruangan gosip itu. Jikalau dulu, Abang Linz merupakan pembaca setia majalah-majalah hiburan seperti URTV, Varia Pop, Media Hiburan dan terbaru majalah Mangga dan Eh! akhirnya Abang Linz pula menjadi salah seorang wartawan hiburan yang sebaris seperti wartawan-wartawan hiburan di Kuala Lumpur. Kalau kita bercerita tentang gosip artis, maka bukanlah mudah seperti disangka. Ini kerana, seseorang wartawan hiburan perlu rapat dengan artis atau rakan artis. Seperti di Sabah khususnya di Bandaraya Kota Kinabalu tidaklah begitu panas seperti di Kuala Lumpur apabila begitu banyak gosip yang kita dengar dari kes cerai artis sehinggalah kepada percintaan tiga segi dan saman malu. Di sini, kalau ada pun gosip tapi tidak sehangat di sana. Abang Linz pun apa lagi, untuk menghangatkan ruangan Hiburan Sabah yang juga dihiasi dengan Bisik-Bisik Bersama Abang Linz terpaksa berkawan rapat dengan artis dan kawan artis ' Kunun-kunun ' mahu mendapatkan cerita terbaru tentang artis kita. Tetapi, Abang Linz tidaklah berlebih-lebih bila menulis gosip sampai seseorang artis itu naik berang ... setakat untuk merancakkan industri hiburan di Negeri bawah Bayu ini. Apa pun, harus diingat semenjak Bisik-Bisik ada, industri hiburan Sabah kian rancak sampaikan Abang Linz ramai kawan-kawan artis sekarang. Saya berbicara panjang juga dengan rakan-rakan wartawan terutamanya di Utusan Borneo dan rakan-rakan artis bahawa untuk merancakkan industri hiburan Sabah perlu juga ada usaha seperti menyediakan satu ruangan khas untuk memberi peluang kepada artis lama mahu pun baru untuk ditampilkan kerana mereka tentunya mahu publisiti bagi membantu menaikkan populariti sebagai seorang artis. Di sini, Abang Linz mengajak kepada mereka yang melayari blog ini agar marilah kita menyokong industri hiburan di Sabah. Blog Hiburan Sabah yang Abang Linz wujudkan ini merupakan kesinambungan kepada usaha selama ini semenjak mengendalikan ruangan hiburan di Utusan Borneo. Pastinya lebih banyak bahan-bahan hiburan melibatkan artis-artis Sabah akan Abang Linz paparkan di dalam blog ini seperti mana motto ' Pasti Hebat dan Baik Bangat !! ' ..