Bisik-Bisik Bersama Abang Linz


Anugerah Juara Lagu (AJL) ke - 24 di TV3 menobatkan Aizat sebagai juara AJL kali ini setelah mempertaruhkan lagu ' Pergi ' dengan syahdu dan mendayu-dayu.

Pun begitu, di sebalik kemenangan Aizat iaitu bintang Akademi Fantasia (AF) musim kelima kedengaran suara-suara kecil kononnya Stacy sepatutnya dinobatkan sebagai juara AJL atau setidak-tidaknya memenangi persembahan terbaik.

Ramai peminat setia Stacy, juara AF6 itu terutamanya di Sabah melahirkan kekecewaan apabila Stacy yang mempertaruhkan lagu ' Pakai Buang ' dipersembahkan dengan cukup bertenaga dan mantap disamping kombinasi hebat penari-penari tidak sedikit pun menarik perhatian pihak juri.

Malah, di akhir persembahan Stacy, penonton yang membanjiri Stadium Putra di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan juga di rumah dikejutkan dengan bunyi dentuman bunga api mengakhiri persembahan mantap Stacy yang menggegarkan pentas AJL ke - 24 ini.

Baru-baru ini, Abang Linz sempat berborak-borak dengan beberapa penyampai radio internet di ibu negeri memaklumkan ramai tidak berpuas hati selepas kegagalan Stacy untuk memenangi sebarang kategori dalam pertandingan paling berprestij di negara ini.

Menurut mereka, Stacy selayaknya memenangi salah satu kategori yang dipertandingkan tetapi sayang sekali persembahan kuasa kuda Stacy sedikit pun tidak meyakinkan pihak juri.

" Ramai kecewa Abang Linz ... kami menerima banyak kiriman di Facebook yang dihantar pendengar semasa kami bersiaran. Nampaknya, peminat setia Stacy terutamanya di sini kecewa selepas Stacy tidak menang, " beritahu seorang penyampai radio internet kepada Abang Linz.

Bagaimanapun, bagi Abang Linz, adat sesuatu pertandingan ada kalah dan ada menang tidak bermakna kegagalan Stacy menyebabkannya kecewa sepanjang masa sedangkan masa depan terbentang luas.

Tentunya, usaha Stacy tidak terhenti di situ sahaja malahan dia mampu melakukan yang terbaik berdasarkan penampilan menariknya dengan mempersembahkan persembahan bertenaga ala-ala penyanyi barat ' Avril Lavigne ' .

Abang Linz berpendapat bahawa bintang Stacy akan terus bersinar dan mungkin satu-satunya penyanyi di Malaysia yang mampu membuat persembahan ligat diatas pentas sambil menyanyi dan menari.

Bercakap kurangnya penyanyi berbakat di Sabah, tidak timbul lagi kerana kita telah mempunyai penyanyi harapan yang bukan sahaja memartabatkan industri muzik Sabah bahkan negara ini.

Itulah Stacy, anak kelahiran dari Kampung Tuavon, Penampang ini bintang baru yang akan menggegarkan industri muzik tanahair.

Semoga maju jaya Stacy, ' Sabah Boleh Bah ' .

Bisik-Bisik: Abang Linz suka melihat Stacy menari diatas pentas sambil rambutnya yang mengerbang

0 ulasan:

Catat Ulasan