Dj Othoe terkenal dengan tagline ' Atukoii ' ...


PENGACARA Suria Pagi Kinabalu di Radio Suria FM, Dj Othoe yang terkenal dengan ' Atukoii !! ... ' bila bersiaran seawal pukul 6 pagi memberitahu bahawa beliau tidak tahu macam mana sebutan itu menjadi tagline kepadanya kerana pada mulanya menggunakan ' Aramaitee ' .

" Sebetulnya, mula-mula saya sering menggunakan perkataan Aramaitee !! .. tapi saya rasa tidak sesuai sebab sudah biasa orang menyebutnya. Ada juga yang mencadangkan Buli Bah, Kalau Kau !! .. Tapi, tidak juga menjadi akhirnya saya kekalkan Atukoii !! sebagai tagline sebab senang untuk diingat, " kata Dj Othoe kepada Hiburan Sabah semasa ditemui di Bandaraya Kota Kinabalu baru-baru ini.

Dj Othoe berkata beliau bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang pengacara sehingga pernah suatu ketika memaksanya melupakan niatnya itu setelah dua kali menghadiri ujibakat anjuran sebuah stesen TV kerajaan tetapi tidak berjaya.

Beliau berkata kerana minatnya terhadap bidang pengacaraan dia meneruskan kerjayanya sebagai pengacara bebas di ibu negeri.

Katanya, berkat kesabaran maka Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS) menawarkan beliau sebagai pengacara hiburan selama lima tahun.

" Perkara yang tidak dilupakan sepanjang bertugas sebagai pengacara di LKS ialah sebanyak tiga kali mengendalikan majlis bersama pengacara terkenal Malaysia iaitu Datuk Mahathir Lokman apabila salah satunya kami digandingkan mengacarakan Pesta Air peringkat Kebangsaan yang ketika itu dibuat di Nexus Lagoon Karambunai Resort.

" Macam mimpi menjadi kenyataan kerana tidak menyangka mampu mengacarakan majlis besar seumpama itu apatah lagi digandingkan bersama Datuk Mahathir yang banyak memberikan tunjuk ajar dan nasihat tentang mengacarakan sesuatu majlis melibatkan orang kenamaan, " beritahu beliau.

Dj Othoe atau nama penuhnya Andrew Impongan ini menjelaskan semuanya adalah disebabkan peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh LKS sehingga dia mendapat pengalaman sebagai seorang pengacara.

Dalam diam-diam rupanya Dj Othoe turut berpengalaman sebagai penganjur sesuatu majlis selain menjadi perunding dan perancang perkahwinan ketika menjadi pengacara bebas bermula pada tahun 1998.

Ujar beliau, setakat tahun 2008 sahaja seramai 130 orang pasangan telah berjaya dikendalikannya semenjak 1998 lagi.

Ditanya siapakah memberikan dorongan kepadanya untuk menceburi bidang pengacaraan ini lantas Dj Othoe yang semakin popular itu menjawab, " Mestilah arwah ayah saya Impongan Bahara yang banyak memainkan peranan penting walaupun ayah banyak membantah berhubung kerjaya saya ... sebab, pada mulanya dia mahu saya menjadi seorang guru, "

" Apa pun, ayah banyak memberi dorongan selain keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan termasuklah juga tunang saya .. Atukoii !! kata Dj Othoe yang sudah pun memiliki pengalaman selama 11 tahun dalam bidang pengacaraan ini.

Ditanya apakah makanan kegemarannya, Dj Othoe memberitahu dia gemar masakan Mee Tuaran, Bak Kut Tee di Jalan Gaya Kota Kinabalu dan Sayur Tatarung dimasak sambal.

Dj Othoe yang sentiasa merendah diri ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang banyak memberikan sokongan kepadanya khususnya pendengar siaran Suria Pagi Kinabalu.

" Sokongan dan dorongan kalian semua termasuklah keluarga saya akan saya kenang sampai bila-bila. Othoe bertekad untuk maju dalam bidang pengacaraan sekali gus memeriahkan industri hiburan di Sabah, " tambahnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan