Luis Chin, lawaknya melucukan meski pun bersahaja


“ Kasih saya air suam “ , … itulah antara skrip paling melucukan pelakon dan pelawak yang berbakat besar serta tidak asing lagi di Sabah, Luis Chin semasa berlakon di dalam telemovie tempatan ‘ Si Tiga Jaguan ‘ .

Luis, 60, meski pun menyampaikannya secara selamba tapi amat melucukan dan pastinya mereka yang menonton telemovie itu tentu terhibur melihat gelagat Luis yang bergandingan dengan Koboi dan Reno.

Ini membuktikan kita memiliki pelawak hebat-hebat belaka bahkan jika semua pihak di negeri ini khususnya penggiat seni sepakat untuk memartabatkan bidang berkenaan adalah tidak mustahil mereka mampu menyaingi pelawak di Semenanjung Malaysia.

Dari segi budaya dan dialek bahasa yang pelbagai memberi banyak kelebihan kepada pengarah tempatan untuk menerbitkan drama, telemovie atau pun filem yang bermutu tinggi.

Contohnya, ‘ Si Tiga Jaguan ‘ adalah satu telemovie yang menarik kerana dengan dialek tempatan telah menguatkan telemovie itu apatah lagi Luis yang memegang watak sebagai salah seorang pelakon utamanya membuatkan sesiapa saja menontonnya tentu terhibur.

Luis memiliki ciri-ciri seorang pelawak dan berikan apa sahaja watak kepadanya sama ada dalam drama, telemovie mahu pun filem pastinya tidak akan menghampakan sesiapa pun.

Hiburan Sabah sempat menemubual Luis secara eksklusif di ibu negeri tidak berapa lama dahulu bagi mendapatkan pandangannya berhubung masa depan bidang lawak jenaka di negeri ini.

“ Sebenarnya, bidang lawak jenaka di Sabah boleh berkembang maju asalkan semua pihak khususnya penggiat seni berganding bahu bagi menerbitkan sama ada dalam bentuk drama, telemovie mahu pun filem.

“ Kerana, kalau kita teliti sejenak … Sabah apa kurangnya, kita kaya dengan pelbagai budaya dan dialek bahasa yang unik sudah tentu memberi banyak kelebihan kepada pengarah tempatan untuk menerbitkan lebih banyak lagi telemovie yang bermutu tinggi dan mendapat sambutan hebat dari semua peminat, “ katanya.

Menurut bekas DJ Radio di Sabah FM ini, tidak mustahil suatu masa para pengarah tempatan mampu mengeluarkan filem lawak jenaka dari sini berdasarkan keberanian menerbitkan begitu banyak telemovie sejak kebelakangan ini.

Ujarnya, ini membuktikan bahawa pengarah tempatan berwawasan selain memiliki idea yang tersendiri demi kemajuan dan masa depan industri tersebut.

Luis yang berasal dari Kampung Padawan Kinota di Papar mengakui tanpa kerjasama selain sokongan semua pihak tentu segala usaha untuk melihat kemajuan industri tersebut tidak akan tercapai.

“ Kita perlu berganding bahu selain mengambil kira dari segi pembayaran kepada seseorang pelakon atau pelawak perlu dinaikkan.

“ Ini kerana, kalau kita teliti … pembayaran agak berbeza seperti apa yang diterima pelawak di Semenanjung Malaysia, “ jelasnya sambil mengakui faktor pembayaran tidak dinafikan begitu penting untuk kemajuan sesuatu industri.

Bagaimanapun, Luis mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ampal Production Sdb Bhd, Yusof Salleh dan Dr.Rashid kerana memberikan peluang kepadanya untuk berlakon di dalam telemovie yang diterbitkan.

Beliau juga tidak melupakan kepada semua peminatnya yang banyak memberikan sokongan selama ini membolehkannya terus bertahan dalam industri lakonan sehingga ke hari ini.

Selain telemovie ‘ Si Tiga Jaguan ‘ dan ‘ Gadis Tamparuli ‘ itu, Luis turut berlakon dalam tiga telemovie yang diterbitkan oleh Ampal Production Sdn Bhd antaranya ialah ‘ Orang Kita ‘ .

Menceritakan pengalamannya sewaktu berlakon dalam telemovie ‘ Orang Kita ‘ dulu, apa yang tidak akan dilupakan oleh Luis ialah sampai ke hari ini orang memanggilnya sebagai doktor haiwan.

“ Ke mana-mana sahaja saya pergi orang akan panggil saya doktor haiwan tapi saya tidak berkecil hati sebab bagi saya itu membuktikan bahawa lakonan saya sebagai seorang doktor haiwan telah berjaya.

“ Pernah suatu ketika, semasa saya berjoging di Kepayan Ridge tiba-tiba saya didatangi oleh kanak-kanak yang memanggil saya doktor haiwan, “ kata Luis yang tersenyum mengenangkan pengalaman melakonkan watak berkenaan.

Bahkan, kata Luis, ayah kepada kanak-kanak itu lantas menemui beliau lalu memberitahu bahawa anak-anaknya begitu meminatinya sehingga CD Orang Kita rosak sebab diputar banyak kali.

Bukan itu saja, Luis juga memberitahu pernah suatu ketika apabila beliau dan isterinya pergi ke pasar besar di ibu negeri untuk membeli ikan telah mendapat potongan harga ikan kerana penjual di situ rupa-rupanya peminat Luis.

“ Inilah antara kenangan manis dan pahit yang saya lalui tetapi ini sedikit sahaja banyak lagi yang belum sempat saya ceritakan, “ ujarnya bergurau.

Luis yang memiliki empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan hasil perkongsiang hidup dengan isterinya, Nuluzanim Baladus.

Luis menyertai RTM Sabah sejak 1971 sebagai Pembantu Siaran tetapi kemudian dinaikkan pangkat sebagai Bahagian Penerbit Rancangan untuk Radio Bahasa Kadazandusun.

Dari situlah Luis menimba banyak pengalaman sebagai seorang pelakon dan pelawak menerusi pelbagai sketsa lakonan yang dijayakannya sepanjang bersama RTM Sabah.

“ Pengalaman itu, saya curahkan sampai ke hari ini, “ katanya mengakhiri perbualan eksklusif.

0 ulasan:

Catat Ulasan