Alvin MY muncul dengan album solo Learning You


Alvin My atau nama penuhnya Alvin Mahathir Yunus merupakan salah seorang daripada ahli kumpulan Infinatez dan juga berperanan sebagai produser dan pencipta lagu.

Learning You merupakan album solo Alvin MY untuk mengekspresi ideologi muzik serta kebolehan beliau dalam bidang penciptaan dan penulisan lagu. Kesemua lagu di dalam album tersebut adalah ciptaannya sendiri.

Di dalam album itu, dia telah bekerja dengan ahli muzik berbakat besar seperti Peter Peninting, Reuben Raymond, Moses Da Silva dan Matlan Kidz.

Dilahirkan di Devon, England dan dibesarkan di Kota Kinabalu serta Ranau ini, Alvin MY yang meminati penghibur-penghibur antarabangsa dari aliran R&B seperti Musiq Soulchild, Maxwell, Justin Timberlake dan Robin Thicke memberitahu Hiburan Utusan Borneo bahawa dia berharap untuk mempamerkan gaya persembahan serta karisma yang berlainan daripada Infinatez di dalam album solonya ini.

Menurutnya, album tersebut merupakan usaha solo beliau yang pertama dan akan disusuli dengan album-album lain dengan tema yang berbeza-beza.

Sebelum menyertai Infinatez pada hujung tahun 2006, beliau merupakan ahli kumpulan vokal Fourvoices dan sering diundang untuk menyanyi di majlis-majlis persendirian.

Alvin MY mula aktif mencipta lagu pada pertengahan tahun 2006. Dia dan Infinatez mula dikenali umum setelah menyertai rancangan realiti TV Gangstarz pada tahun 2007 dan seterusnya apabila menyertai pementasan teater muzikal P.Ramlee terbitan Enfiniti Production.

Sesungguhnya pengalaman Alvin MY boleh dikongsikan bersama dengan bekerja serta berkongsi pentas bersama nama-nama besar dalam industri muzik tanahair seperti Adlin Aman Ramli, Tiara Jacquelina, Melissa Saila, Liza Hanim, Sean Ghazi, Datuk Siti Nurhaliza, Musly Ramli, Siti Hajar, Helen Yap, Azmeer, Cat Farish, Imran Ajmain, Atilia, Infinatez, Luscious, Pat Ibrahim, Atama, Asmin Mudin, Illegal, C.L Toh, Edrie Hashim, Zahim Al Bakri, Jonathan Tse, Pot of ROSIN, Richado, Kombo RTM Kota Kinabalu dan banyak lagi.

Alvin MY memberitahu walaupun tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang muzik sebelum ini, beliau kini mula mendapatkan tunjuk ajar dari guru muzik Andrew Peninting.

Sebagai seorang penyanyi, Alvin MY telah membuat persembahan di pelbagai program melibatkan acara korporat, perkahwinan dan juga persembahan kelab-kelab sekitar Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.

Keistimewaan yang ada pada beliau ialah boleh membuat persembahan secara solo dengan gitar akustik.

Selain aktif dalam bidang muzik, beliau juga adalah pengasas komuniti sosial dan rekaan baju BBKK yang semakin mendapat tempat di Sabah. Maklumat lanjut mengenai Alvin MY dan albumnya itu boleh didapati di laman web rasmi www.alvinmy.com.

Peminat Alvin MY akan berpeluang untuk mendapatkan album solonya ini apabila Learning You akan menemui peminat pada awal bulan April di mana pelancaran album berkenaan telah pun diadakan baru-baru lalu bertempat di Venetian, Lido Penampang.

0 ulasan:

Catat Ulasan