Layari blog Abang Linz untuk mengetahui perkembangan industri hiburan di Sabah



Assalamualaikum .. saya Mohammed Rozzalin Hj Mohd Hashim @ Abang Linz adalah wartawan dan jurugambar akhbar Utusan Borneo di Kota Kinabalu. Saya berasal dari Kampung Bokara di Sandakan. Saya memikirkan sudah tiba masanya untuk memiliki blog sendiri yang membicarakan mengenai perkembangan industri hiburan di Sabah. Sejak mengendalikan ruangan Hiburan Sabah di Utusan Borneo tentunya begitu banyak berita tentang artis-artis Sabah sama ada mereka merupakan penyanyi, pelakon, pelawak mahu pun pengarah atau penerbit. Hampir kesemuanya telah pun menghiasi ruangan Hiburan Sabah yang dahulunya disiarkan setiap hari Isnin tetapi hari ini ditukar kepada hari Ahad. Saya tidak menyangka sama sekali akhirnya dapat mengenali begitu ramai artis-artis Sabah sama ada yang sudah berjaya mahu pun pendatang baru semuanya melahirkan harapan tinggi untuk berjaya sebagai ' Orang Seni ' sekali gus memartabatkan industri hiburan di negeri ini khususnya. Seronok juga berjumpa dengan bintang-bintang Akademi Fantasia (AF) seperti juara AF6 Stacy, Adam AF2, Felix Agus AF3 dan Marsha AF3 termasuklah Den Bisa, Abu Bakar Ellah @ Ampal, Reynaldo Rey, Atama, Norizs dan ramai lagi. Malah, pelawak seperti Koboi dan Luis Chin sehinggalah kepada penggiat seni tersohor di Sabah iaitu Deddy Mo.Borhan yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Abang Linz menjadi rakan baik kepada mereka maklumlah wartawan hiburan mestilah rapat dengan artis apa lagi mereka merupakan orang Sabah. Kalau dahulu, Abang Linz hanya berpeluang melihat artis top di celah-celah kesesakan orang ramai tapi sekarang semuanya berbeza. Itulah kelebihan wartawan apa lagi wartawan hiburan sudah menjadi tugasannya untuk mendapatkan berita terbaru tentang perkembangan seseorang artis. Deddy M.Borhan pula banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar tentang bagaimana menjadi wartawan hiburan yang baik. Pun begitu, Abang Linz amat berbangga akhirnya dapat berjumpa dengan Deddy M.Borhan yang popular menerusi filemnya ' Keluarga Comat ' dan ' Azura ' ini. Sementara itu, paling menyeronokkan kepada saya sejak mengendalikan ruangan gosip ' Bisik-Bisik Bersama Abang Linz ' setiap gerak geri artis Sabah sama ada hot atau tidak hot akan di bisik-bisik di ruangan kecil tersebut. Pembaca setia Utusan Borneo kini tertunggu-tunggu Hiburan Sabah semata-mata mahu membaca Bisik-Bisik yang menceritakan tentang gosip artis-artis dari negeri kita. Abang Linz pun seakan-akan tidak percaya, akhirnya mimpi menjadi kenyataan apabila diberikan peluang untuk mengendalikan ruangan hiburan lengkap dengan gambar untuk ruangan gosip itu. Jikalau dulu, Abang Linz merupakan pembaca setia majalah-majalah hiburan seperti URTV, Varia Pop, Media Hiburan dan terbaru majalah Mangga dan Eh! akhirnya Abang Linz pula menjadi salah seorang wartawan hiburan yang sebaris seperti wartawan-wartawan hiburan di Kuala Lumpur. Kalau kita bercerita tentang gosip artis, maka bukanlah mudah seperti disangka. Ini kerana, seseorang wartawan hiburan perlu rapat dengan artis atau rakan artis. Seperti di Sabah khususnya di Bandaraya Kota Kinabalu tidaklah begitu panas seperti di Kuala Lumpur apabila begitu banyak gosip yang kita dengar dari kes cerai artis sehinggalah kepada percintaan tiga segi dan saman malu. Di sini, kalau ada pun gosip tapi tidak sehangat di sana. Abang Linz pun apa lagi, untuk menghangatkan ruangan Hiburan Sabah yang juga dihiasi dengan Bisik-Bisik Bersama Abang Linz terpaksa berkawan rapat dengan artis dan kawan artis ' Kunun-kunun ' mahu mendapatkan cerita terbaru tentang artis kita. Tetapi, Abang Linz tidaklah berlebih-lebih bila menulis gosip sampai seseorang artis itu naik berang ... setakat untuk merancakkan industri hiburan di Negeri bawah Bayu ini. Apa pun, harus diingat semenjak Bisik-Bisik ada, industri hiburan Sabah kian rancak sampaikan Abang Linz ramai kawan-kawan artis sekarang. Saya berbicara panjang juga dengan rakan-rakan wartawan terutamanya di Utusan Borneo dan rakan-rakan artis bahawa untuk merancakkan industri hiburan Sabah perlu juga ada usaha seperti menyediakan satu ruangan khas untuk memberi peluang kepada artis lama mahu pun baru untuk ditampilkan kerana mereka tentunya mahu publisiti bagi membantu menaikkan populariti sebagai seorang artis. Di sini, Abang Linz mengajak kepada mereka yang melayari blog ini agar marilah kita menyokong industri hiburan di Sabah. Blog Hiburan Sabah yang Abang Linz wujudkan ini merupakan kesinambungan kepada usaha selama ini semenjak mengendalikan ruangan hiburan di Utusan Borneo. Pastinya lebih banyak bahan-bahan hiburan melibatkan artis-artis Sabah akan Abang Linz paparkan di dalam blog ini seperti mana motto ' Pasti Hebat dan Baik Bangat !! ' ..

0 ulasan:

Catat Ulasan